Wednesday 17 September 2008

17 Ramadhan 1429

Pada awal pagi 17 Ramadhan, bersamaan Nuzul Quran (cuti bagi negeri Kelantan, negeri-negeri lain saya tak pasti).  Bersempena dengan bulan yang mulia ini, banyak-banyaklah membaca ayat-ayat suci Al Quran (peringatan kepada diri sendiri juga).  Merata-rata tempat di sekitar bandar di negeri bulan terang ini, banyak kain rentang, tertulis dengan jelas dan nyata, "Banyakkanlah Bersedekah", "Banyakkanlah Membaca Al Quran" dan sebagainya.  Begitulah yang terpampang di sekeliling saya, moga-moga dengan peringatan itu, akan menggerakkan saya untuk melaksanakannya.

Pada pagi 17 Ramadhan ini juga, udara segar di persekitaran rumah.  Burung-burung berkicauan, kedengaran suara-suara binatang ternakan dari jauh dan dekat, memecah keheningan pagi.  Tertanya-tanya juga saya, bilakah saatnya, 'udara di sekeliling akan menjadi lebih segar, dan langit menjadi lebih cerah' selepas berlalunya 16 Ramadhan?

Lagi dua hari, saya akan berkurangan usia.  Selalunya orang mengatakan bertambah usia.  Dari segi angka, sememangnya akan meningkat nombornya.  Tapi kalau dari segi logik (buah fikiran saya sendiri, tanpa dipengaruhi oleh pendapat orang lain), sebenarnya usia kita semakin berkurang setiap tahun.  Ajal kita telah ditentukan sejak azali.  Jika tertulis, saat roh terpisah dari jasad, tidak dilewatkan walau sesaat pun.  Contohnya, menggunakan kiraan matematik, sudah tertulis ajal itu pada umur 50 tahun, dan umur ketika waktu ini adalah 34, jadi 50-34 ialah 16 tahun.  Sepanjang masa yang ada itu, sebaik-baiknya kita cuba perbaikkan amalan kita sebagai persediaan untuk kehidupan yang lebih kekal di akhirat sana.  Saya akui, tiada siapa yang tahu, bilakah Izrail akan menghampirinya, tapi yang penting adalah membuat persediaan.  Umpama menduduki peperiksaan tanpa membuat ulangkaji, pasti akan terkial-kial untuk menjawab, walaupun soalannya senang.

Saya sedang mengikuti kursus Bahasa Melayu di USM.  Ini adalah antara syarat untuk saya mengesahkan jawatan saya.  Memandangkan, sepanjang kelas Bahasa diadakan, saya hanya dapat hadir pada kelas sahaja,  kerana sibuk dengan tugas-tugas di pejabat.  Dengan menulis blog dalam bahasa Melayu 'standard', saya berharap saya dapat memperbaiki gaya penulisan dan penggunaan ayat serta nahu yang betul, sebagai persediaan untuk peperiksaan yang akan diadakan dalam bulan November atau Disember nanti.

Moga-moga Allah memberkati perjuangan kita ini.


Sekian untuk kali ini.
Wassalam.

No comments:

Jom Borak

Name :
Web URL :
Message :